KELAHIRAN YANG SELAMAT vs. KELAHIRAN YANG SELESA; YANG MANA SATU PILIHAN HATI?

Artikel ini ditulis sebagai respon terhadap gerakan dan individu yang mempromosi cara kelahiran alternatif berbanding khidmat perbidanan arus perdana yang disediakan oleh autoriti kesihatan Malaysia buat masa kini. Yang saya maksudkan sebagai method kelahiran alternatif ini adalah merujuk kepada method home birth, Amani birth, gentle birth, hypno birth, lotus birth, natural birth, pool birth dan semua method yang bersamaan dengannya.

Medical Mythbuster Malaysia

Terdapat 2 persamaan dalam kesemua method rawatan alternatif yang dinyatakan sebelum ini;

PERTAMA, kesemuanya tidak berdaftar dengan pihak autoriti kesihatan Malaysia; maka standard ilmu, kemahiran, latihan dan keupayaan sangat diragui malah membahayakan. Lebih malang jika mereka mendakwa mereka pakar dalam bidang perbidanan hanya dengan beberapa jam/hari seminar atau tutorial online.

Jika berlaku kecelakaan akibat perawatan atau nasihat para bidan alternatif (atau digelar doula) ini, mungkin mereka dengan senang hati melepaskan diri kerana kita tiada akta atau kod untuk mendakwa mereka di sisi undang-undang, apatah lagi mereka sememangnya tidak berdaftar. Namun di sisi agama mereka dikira bertanggungjawab. Sebagaimana mafhum hadis Riwayat Abu Daud & Nasaei;
من تطبب ولم يعلم منه طب فهو ضامن
“Sesiapa yang merawat dan tidak tahu ilmu mengenainya (ilmu perubatan), maka dia dipertanggungjawabkan”.

Imam Abu Daud dan Daruquthni meletakkan hadis ini dibawah Bab ‘Diyat’ iaitu ganti rugi ke atas nyawa yang terkorban. Kerana itu sebahagian ulama apabila mensyarahkan hadis ini memberi isyarat bahawa seorang doktor yang tiada kemahiran sehingga menyebabkan kematian atau kecacatan, maka dia harus dipertanggungjawabkan dengan membayar ‘diyat’ atau ganti rugi.

KEDUA, persamaan kesemua method perbidanan alternatif ini ialah kesemuanya fokus kepada aspek KESELESAAN ibu semata-mata, sehingga mengabaikan perihal KESELAMATAN ibu dan bayi. Method ini pastinya menjadi tarikan buat wanita yang lumrahnya romantis dan Lehman lembut. Maka mereka terpersona dengan desakan ini demi keselesaan, jauh dari hiruk pikuk dewan bersalin atau operation theatre di hospital. Kononnya mereka boleh relax dengan muzik, santai di dalam kolam, bau aromatherapy, diulik hypnotherapy dan diusap suami semasa bersalin, siapa yang tidak mahu?

Namun proses bersalin bukannya perihal enteng walaupun ia lumrah seorang wanita. Kerana itu dalam tradisi Islam, wanita yang meninggal semasa bersalin dianggap syahid (dalam Hadith Riwayat Ahmad & Abu Daud). Di zaman moden pula, seorang doktor menghabiskan 10-15 tahun untuk menjadi pakar Obstetrik & Ginekologi. Satu kematian ibu atau anak dianggap satu kegagalan dalam servis perubatan kini dan memerlukan inkuiri ‘Mortality Review’.

Hakikatnya, setiap kehamilan dan kelahiran ada risikonya. Samada ibu mempunyai masalah kesihatan semasa mengandung seperti darah tinggi dan diabetes, ataupun janin mempunyai masalah tertentu seperti bayi besar, bayi songsang atau uri di pangkal rahim (placenta previa). Semasa bersalin pula aspek 3P (Power, Passage & Passenger) perlu diambil perhatian. Kandungan yang selama ini normal boleh saja menjadi satu kecemasan dan memerlukan intervensi pakar dan pembedahan Caesarean semasa proses bersalin contohnya dalam kes bayi mula mengeluarkan najis dalam rahim (meconium aspiration), bahu tersangkut (shoulder dystocia) atau jatuh tali pusat (cord prolapse).

Lantaran itu ilmu dan kemahiran perbidanan moden hari ini berkembang seiring dengan perkembangan tamadun manusia itu sendiri. Manusia melihat masalah sebegini sebagai ancaman kepada nyawa ibu dan bayi lantas memformulasi pelbagai kaedah perbidanan, ubat dan pembedahan yang telah terbukti berkesan dan menyelamatkan kedua-dua nyawa ibu dan anak. Makanya ilmu perbidanan moden ini adalah suatu yang alami, universal dan intrinsic (berakar umbi) dari tamadun manusia itu sendiri, bukannya suatu perkara yang asing, kebaratan atau bersumber Israeliyat (Yahudi).

Kemajuan dan pencapaian bidang perbidanan moden yang diamal di hospital di negara kita ini hanyalah semata-mata memastikan kelahiran yang SELAMAT buat ibu dan bayi. Dari perspektif Syarak atau Maqasid Syariah pula, usaha memastikan KELAHIRAN YANG SELAMAT adalah menepati Maqasid yang utama iaitu Maqasid Dharuriyat (Keperluan Asasi) yang wajib dijaga seperti Nyawa (Nafs), Intelek (Aqal), Keturunan (Nasl) dan Harta (Mal).

Akibat sikap sambil lewa dan ketidakmahiran bidan alternatif seperti doula, aspek Maqasid Dharuriyat ini mungkin saja dilanggar sehingga berlaku kematian ibu dan anak (mudarat pada nyawa – Nafs, kematian/kecacatan zuriat keturunan – Nasl) atau anak dilahir mengalami Hypoxic Ischemic Encephalopathy, cacat otak dan mengalami Cerebral Palsy (mudarat pada intelek – Aqal, Keturunan – Nasl) yang akhirnya menjejaskan ekonomi keluarga dan negara akibat kematian ibu atau penjagaan kesihatan akibat komplikasi bersalin (mudarat pada Harta – Mal).

Namun tidak dinafikan KESELESAAN ibu yang sedang melahirkan juga penting. Servis perbidanan moden juga mengambil kira hal ini dalam 2 lagi aspek P iaitu Patient (fizikal ibu) dan Psychology (mental ibu). Bagaimanapun di sisi Maqasid Syariah ianya jatuh ke peringkat ketiga iaitu Maqasid Tahsiniyyat, suatu keperluan bukan mendesak, yang sekadar mewujudkan keselesaan dan kesempurnaan.

Awlawiyyat (prioriti) dari sudut Maqasid Syariah adalah mengutamakan KESELAMATAN (Dharuriyat) berbanding KESELESAAN (Tahsiniyyat). Bersalin itu satu perjuangan (jihad), tiada masalah dan salah jika harus dikorbankan sejenak KESELESAAN demi KESELAMATAN anak dan ibu yang lebih utama. Tiada ibu yang menderita bersalin selamanya seumur hidup. Purata wanita bersalin sekarang pula tidak lebih 7 anak.

Jika ada pusat bersalin yang boleh menjamin KESELAMATAN dan KESELESAAN, itu suatu bonus buat kaum ibu dan suami. Saya percaya situasi khidmat perbidanan semasa negara kita mengutamakan KESELAMATAN semasa kehamilan dan bersalin, dan seboleh mungkin meraikan KESELESAAN berdasarkan sumber yang terhad. Namun jika ada kaum ibu yang memilih KESELESAAN melaumpaui KESELAMATAN sehingga melanggan bidan alternatif di rumah yang tidak terjamin kemahiran dan kelengkapannya, maka itu suatu yang aneh dan patut dikesali.

Maka fikirkanlah, antara bidan alternatif tak berdaftar dan tak terlatih berbanding khidmat doktor pakar dan jururawat terlatih; antara rumah yang tiada kelengkapan berbanding hospital yang ada kelengkapan Operation Theatre, Neonatal Peadiatric dan Blood Bank; antara dakwaan omong kosong berbanding khidmat perbidanan yang terbukti dari Evidence Based Medicine; antara kebodohan, degil atau ego berbanding penyesalan seumur hidup akibat kehilangan insan tercinta; antara KESELESAAN sementara berbanding KESELAMATAN nyawa anda dan anak; Yang mana satu pilihan hati?

Baca Juga :

Kejadian Bahu Bayi Tersangkut Masa Bersalin Memang Menakutkan Ibu. Doktor Cakap Risikonya Berulang Kembali Sangat Tinggi!
sangkut

Pernah dengar bahu bayi tersangkut masa ibu melahirkannya? Memang menakutkan! Segala kemungkinan boleh berlaku pada ibu atau bayi semasa proses bersalin. Perkongsian yang diceritakan oleh Dr. Muhammad Izzat Abdul Razak tentang pengalaman beliau mengendalikan masalah ibu bersalin yang bahu bayinya tersangkut elok dijadikan pengetahuan kepada semua ibu.

“ok teran, teran, bagus dah nihh….,, haa teran lagi. pandaii…teran panjang panjangggg…… sikit lagi sikit lagi. haaa okay. Kepala dah keluar dah, ok teran lagi sambungg nak keluarkan bahu pulak ye

*sambil membantu untuk mengeluarkan bahu, kepala bayi ditarik perlahan-lahan.*

(kelihatan dahi merecik dengan peluh kebimbangan & riak mukanya gelisah )…..

” eh ketatnyaaaa, takleh keluar bahu nih, panggil doktor cepattt !!!! sekaranggg!!”

begitulah scene kecemasan yang berlaku di dewan bersalin, apabila misi yang menyambut kelahiran bergegas dan melontarkan suara mereka memanggil doktor oncall

kadang-kadang tengah makan pun boleh tercekik dengar mereka ni menjerit mintak tolong.

belum lagi kalau tengah mandi ke apa, nasib baik tak bertuala sahaja untuk rescue kan?

contoh laaaa, tak pernah lagilah bertuala sahaja, sempat gak la sarung seluar. ??

okay, jom berbalik pada citer bahu sangkut tadi, Ianya berlaku apabila kepala bayi sudah dilahirkan tetapi salah satu bahunya tersangkut pada belakang tulang pubis ibu, sekaligus melambatkan kelahiran badan bayi tersebut. Jika kejadian bahu sangkut ini terjadi , pertolongan tambahan perlu diberikan oleh penyambut kelahiran untuk melepaskan sangkutan bahu bayi. Walau bagaimanapun dalam kebanyakkan kes, bayi selalunya dilahirkan dengan selamatnya.

Berapakah kekerapan terjadinya kejadian bayi bahu sangkut ketika bersalin?

1 dalam 150 (0.7%) kelahiran normal (vaginal birth)

Kejadian bahu bayi sangkut berlaku dengan tidak dijangka ketika kelahiran dan kebanyakan masa ianya tidak boleh diramal, bila ianya akan berlaku. Tetapi ada beberapa faktor menyebabkan kejadian bahu bayi sangkut ini mungkin berlaku : –

*Sejarah kelahiran terdahulu dengan masalah bahu bayi sangkut.

*Ibu mempunyai kencing manis (diabetes)

BMI ibu > 30 kg/m2 atau lebih

*Kelahiran yang dipaksa (induced labour)

*Proses kelahiran yang mengambil jangka masa yang panjang (prolonged labour)

*Kelahiran yang dibantu oleh Forceps atau Ventouse/Vacumm

Kejadian bahu bayi sangkut selalunya terjadi pada bayi-bayi yang besar. Walaupun begitu selalunya tiada masalah untuk melahirkan bayi-bayi besar dalam majoriti kesnya yang mana melebihi 4.5 kg. Dalam kebanyakan kes bahu bayi sangkut didapati berat bayinya adalah kurang daripada 4 kg.

Kejadian bahu bayi sangkut bole dicegah ?

Dalam kebanyakan kes, kejadian bahu bayi sangkut tidak boleh dicegah kerana ia sukar diramalkan bila akan berlaku.

Walaupun begitu, jika ibu menghidapi kencing manis ketika hamil, anda seharusnya diberikan pilihan untuk bersalin awal (induction of labour) ataupun pilihan untuk bersalin secara pembedahan caesarean. Ini dapat mengurangkan risiko terjadinya bahu bayi sangkut ketika bersalin.

Jika anda tidak menghidapi kencing manis, pilihan untuk bersalin awal tidak akan mengurangkan risiko untuk terjadinya kejadian bahu bayi sangkut ini, walaupun bayi anda diramalkan besar. Pilihan untuk bersalin secara pembedahan caesarean juga tidak dicadangkan untuk anda.

Apakah yang akan berlaku sekiranya terjadi kejadian bahu bayi sangkut ketika bersalin?

Penyambut kelahiran sudah bersiap sedia sekiranya ada terdapat beberapa faktor seperti yang dinyatakan seperti di atas.

Kejadian bahu bayi sangkut adalah KECEMASAN, maka jika ianya berlaku perlu ditangani dengan segera, tanpa berlengah-lengah kerana bahu bayi perlu dilepaskan daripada sangkutan supaya badan bayi dapat dilahirkan dan bayi boleh bernafas secara normal. Penyambut kelahiran akan meminta tolong dan membunyikan loceng kecemasan supaya beberapa kakitangan terlatih – doktor perbidanan, doktor bayi dan kakitangan perbidanan yang lain berada di tempat kejadian untuk membantu anda.

Ianya berlaku dengan sangat cepat, dan dalam sekelip mata terlalu banyak kakitangan yang diperlukan untuk menangani kecemasan ini berada dalam dewan bersalin. Keadaan ini akan menyebabkan anda berasa takut dan gusar. Walau bagaimanapun anda diminta terus bertenang kerana doktor perbidanan dan kakitangan perbidanan yang terlibat adalah terlatih dan boleh membantu anda dalam kelahiran yang melibatkan bahu bayi sangkut, dengan cepat dan selamatnya.

Doktor perbidanan/penyambut kelahiran akan:

*Meminta anda supaya berhenti meneran

*Akan mengubah kedudukan dan posisi ibu supaya lebih banyak ruang di dalam vagina. Anda akan diminta untuk baring dan kedua-dua belah kaki anda ditolak ke luar dan ke atas, dekat dengan dada, dikenali sebagai McRoberts Manoeuvre

*Sedikit tekanan akan diberikan pada bahagian atas ari-ari untuk membantu melepaskan sangkutan bahu bayi (suprapubic pressure )

*Episiotomy dilakukan , untuk membesarkan bukaan vagina sekiranya perlu melakukan kaedah lain untuk melepaskan sangkutan bahu

*Selalunya dengan kaedah-kaedah ini bayi dapat dilahirkan dengan selamatnya. Jika bayi tetap tidak dapat dilahirkan,

*Doktor perbidanan akan memasukkan tangan nya ke dalam vagina untuk melepaskan sangkutan bahu bayi

*Anda mungkin akan dibantu untuk pusing kepada posisi ‘all fours’ yang mana dapat melepaskan sangkutan bahu bayi

Apakah yang akan terjadi kepada saya dan bayi saya selepas insiden bahu sangkut semasa kelahiran?

Ibu mungkin mengalami koyakkan yang teruk semasa kelahiran sehingga boleh melibatkan lubang dubur. Tumpah darah selepas bersalin boleh berlaku, kadangkala memerlukan transfusi dan pemindahan darah.

Untuk bayi pula, 1 daripada 10 bayi ( 10% ) yang mengalami bahu sangkut ketika bersalin mengalami kecederaan pada saraf brachial plexus , menyebabkan sebahagian anggota yang terlibat tidak boleh digerakkan. Jenis yang biasa terjadi dinamakan Erb’s palsy . Walaupun begitu, kecederaan ini hanyalah sementara dan pergerakkan tangan yang terlibat akan kembali pulih dalam beberapa jam atau hari. Kecederaan kekal sangat jarang berlaku.

Perlu diingatkan , kecederaan pada saraf brachial plexus bukan sahaja berlaku pada kejadian bahu bayi sangkut ketika bersalin normal, ianya juga boleh terjadi pada bayi yang dilahirkan secara pembedahan caesarean.

Kadangkala, kejadian bayi bahu sangkut ini boleh menyebabkan tulang bahu bayi patah. Walaupun begitu, dalam kebanyakkan kes, bayi sembuh seperti sediakala.

Walaupun langkah berjaga-jaga telah diambil dan pertolongan kecemasan diberikan segera ketika bahu bayi sangkut, bayi mungkin mengalami masalah otak kerana kekurangan oksigen sampai ke otak ketika insiden bahu sangkut itu berlaku .

Bagaimana dengan kelahiran saya yang berikutnya di masa hadapan?

Jika kelahiran kali ini anda mengalami masalah bahu bayi sangkut, risiko untuk ianya berulang kembali adalah sangat tinggi. 1 dalam 10 wanita yang bersalin akan mengalaminya sekali lagi. Maka, doktor perbidanan anda akan berbincang dengan anda dan pasangan anda cara yang terbaik untuk melahirkan bayi anda yang berikutnya . Anda mungkin memilih untuk bersalin secara normal (vaginal birth), jika ketika kejadian bahu bayi sangkut itu, bahu senang dilepaskan, dan bayi anda sihat dan bebas daripada komplikasi yang lain dan tidak mempunyai faktor-faktor lain. Anda boleh memilih untuk bersalin secara pembedahan caesarean, jika sebaliknya.

SUMBER

KARANGKRAF

Dr. Muhammad Izzat Abdul Razak

Pegawai Perubatan Obstetrik & Ginekologi-KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Dr Ahmad Faidhi Mohd Zaini
www.fiqhmedic.com
Medical Mythbuster Malaysia

News Reporter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *